Ipoh- Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan (KKTR) yang dibina sekitar tahun 1973 kini hampir tidak dapat menampung ramai pengunjung yang semakin bertambah.

Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ahmad Munir Ishak berkata kesesakan yang dialami di KKTR berkait rapat dengan populasi penduduk yang semakin bertambah di daerah itu.

Pihak KKTR telah menyuarakan masalah berkenaan di mana mereka memerlukan bantuan dari segi kemudahan asas seperti kerusi, kipas dan khemah. Bantuan berkenaan diperlukan bagi menjamin keselesaaan kepada pesakit-pesakit yang datang untuk mendapat rawatan.

KKTR juga merupakan antara klik kesihatan yang paling lama di bandaraya Ipoh. Seharusnya diganti dengan bangunan baharu yang lebih selesa seperti mana yang dicadangkan oleh petugas-petugas di sini. Mereka berharap pihak kerajaan negeri dapat mempertimbangkan cadangan mereka.

Dari segi keperluan peralatan asas seperti yang dimaklumkan kepada saya, pihak MBI akan mempertimbangkan permohonan tersebut bagi membantu melancarkan pentadbiran di KKTR yang selama ini menimbulkan kekangan dikalangan pengunjung,” katanya kepada Peraktastik selepas Program Penyerahan Sumbangan Kit Covid-19 di KKTR hari ini.

Menerusi sumbangan itu pihak KKTR menerima 20 unit Oximeter bernilai RM2,500, pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan set semburan sanitizer.

Ahli MajIs MBI Zon 2 (Hulu Kinta), Puteri Holijah Muhamad Rali berkata menerusi Program MBI Prihatin kali ini, pihaknya memfokuskan masalah yang sedang dihadapi di klinik kesihatan terutamanya sewaktu pandemik Covid-19 ini.

Sepertimana yang dimaklumkan jumlah pesakit Covid-19 yang semakin meningkat dan memerlukan kuarantin di rumah. Jadi dengan itu kita menyumbang Oximeter bagi memudahkan pesakit memantau tahap kesihatan mereka di rumah.

Kita juga mengalu-alukan kepada orang ramai yang ingin membantu KKTR selain dari peralatan perubatan, kemudahan asas seperti kerusi dan kipas juga boleh disumbang bagi menampung keperluan pengunjung yang semakin bertambah,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Keluarga, Doktor Sheela Mithra berkata sumbangan yang diterima sememangnya memenuhi keperluan dan tepat pada masa sekarang.

Pihak KKTR mengucapkan terima kasih kepada pihak MBI khususnya Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin yang begitu prihatin kepada sektor kesihatan di bandaraya Ipoh ini.

Sememangnya kami memerlukan bantuan dari segi peralatan perubatan memandangkan pertambahan kes pesakit Covid-19 setiap hari. Saya juga berharap akan ada lagi pihak-pihak lain akan turut menyusul untuk memberi sumbangan bagi membantu para pesakit yang memerlukan,” ujarnya.