IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mempertimbangkan untuk menaik taraf fasiliti dan infrastruktur pasar awam di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit. 

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung pasar awam di bawah MBI yang sudah uzur dan perlu dinaik taraf. 
 
Menurutnya, MBI akan terus menjalankan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur di sekitar bandar raya ini dari semasa ke semasa membabitkan jalan, longkang, jambatan dan cerun demi keselesaan warga kota. 
 
"Hari ini kita melihat kerja pembinaan penjalan kaki di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Puteh, Jalan Pasir Putih untuk kemudahan pelajar. 
 
"Justeru, MBI akan terus bekerjasama dan fokus kepada pembangunan infra di beberapa sekolah di sekitar bandar raya ini," katanya pada sidang media di Gunung Matsoorat, pada Sabtu. 
 
Terdahulu, beliau meluangkan masa meninjau perkembangan projek di sekitar bandar raya Ipoh antaranya termasuklah kerja-kerja pembinaan laluan pejalan kaki di hadapan SMK Pasir Puteh, Jalan Pasir Putih dan mengecat semula Medan Selera Tasek serta kerja-kerja membaiki jambatan di Kampung Sengat, Simpang Pulai. 
 
Hadir sama, Ahli Majlis MBI Zon 21 (Sungai Rapat) Abu Bakar Hussain; Pengarah Kejuruteraan MBI, A'zman Mohd Harun; Pengurus Puncak Emas Sdn Bhd (PEISB), Zainal Othman dan Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan Kerja dan Operasi MBI, Arif Mohd Zainudin. 
 
Dalam perkembangan sama, Rumaizi memaklumkan jambatan kecil yang dibina di Kampung Sengat dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi. 
 
Katanya, infrastruktur jambatan itu rosak sejak awal tahun ini namun kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kerja-kerja membaik pulih tertangguh buat sementara waktu. 
 
"Selain itu, hari ini kita turut melawat Medan Selera Tasek. Seperti yang kita maklumkan dua ke tiga minggu lalu kita akan melihat semula medan selera yang mempunyai potensi dan akan cuba menaik taraf bagi menggamit kedatangan pelancong ke bandar raya Ipoh," ujarnya.