IPOH - Bagi meraikan sambutan Hari Malaysia, orang ramai dipelawa menderma darah untuk mengisi Tabung Darah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di AEON Kinta City di sini esok.

Program Derma Darah Demi Malaysia ini anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Pemuda Gopeng sebagai satu apresiasi pengorbanan masyarakat kepada komuniti.

Pengerusi Pemuda Gopeng, Cally Ting merayu orang ramai, khususnya golongan muda tampil menderma darah bagi membantu memastikan stok simpanan dan bekalan darah di hospital sentiasa mencukupi.

Beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kebimbangan masyarakat untuk derma darah serta pembatalan kempen derma sebelum ini menyebabkan stok simpanan darah di hospital mengecil.

“Menderma darah secara konsisten untuk mengisi tabung darah hospital adalah penting serta amat bermakna khasnya diadakan sempena sambutan Hari Malaysia bagi menzahirkan semangat patriotik.

"Kempen derma darah ini akan diadakan dari pukul 10.30 pagi hingga 4 petang dengan kolaborasi AEON Kinta City dan Unit Darah HRPB," katanya.

Setiap penderma akan dihadiahkan satu beg cenderahati manakala pertandingan kuiz sempena sambutan Hari Malaysia juga akan diadakan.

Pemenang berpeluang mendapat satu hadiah istimewa.

Jelas Cally, orang ramai tidak perlu bimbang kerana proses derma darah akan dilakukan mengikut pematuhan yang ditetapkan selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Bagi yang baru mengambil vaksin pula, sekiranya tanpa kesan sampingan ringan, 7 hari selepas ambil vaksin sudah boleh menderma darah. ”

Sebarang pertanyaan tentang kempen ini boleh menghubungi talian 018-3820189.