IPOH - Simpati dengan nasib adik Nurhannan Sabrina Amir, 8, anak bongsu daripada lapan beradik yang menggunakan telefon bimbit ibunya untuk belajar, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tampil menghulurkan sumbangan, hari ini.
 
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud hari ini meluangkan masa menyampaikan sumbangan tablet, kotak makanan daripada Pasar Raya Econsave dan wang tunai kepada keluarga Nurhannan di Taman Shatin, di sini. 
 
Bapanya Nurhannan, Amir Man, 68, yang mengalami strok kecil (minor strok) di bahagian kiri badan sudah tidak bekerja dan hanya menampung perbelanjaan harian menggunakan wang bantuan zakat sebanyak RM300 yang diterima setiap bulan serta pemberian wang daripada anak-anaknya. 
 
Dia yang sebelum ini menjual sayur-sayuran di pasar malam sudah tidak berniaga kerana sudah uzur.
 
"Terima kasih kepada MBI yang sudi melawat dan menghulurkan bantuan. Sekurang-kurangnya, bantuan ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung kami sekeluarga," katanya ketika ditemui hari ini. 
 
Hadir sama, Ahli Majlis MBI Zon 15 (Pasir Pinji), Tony Khoo Boon Chuan yang turut sama menyumbangkan kotak makanan kepada keluarga berkenaan. 
 
Sementara itu, Nurhannan kelihatan gembira selepas menerima tablet berkenaan. 
 
"Saya sangat gembira dan akan menggunakan tablet ini sebaik mungkin untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," ujarnya.