IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membeli 23 unit lori bernilai RM3,668,500.00, namun hanya 17 unit lori terbuka (lapan tan) akan digunakan khusus untuk perkhidmatan kutipan sampah kebun dan pukal secara percuma.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud berkata bagi mempercepatkan proses pengutipan sampah pukal. MBI melancarkan 13 unit lori terbuka (lapan tan) bertujuan meningkatkan kualiti persekitaran Bandaraya Ipoh yang bersih.

“Namun buat sementara waktu, lori tersebut akan digunakan untuk mengatasi kutipan sampah tertunggak.

“Manakala enam lori lagi digunakan bagi mengatasi masalah sampah haram agar bandaraya Ipoh kekal bersih. MBI telah melantik seramai 56 pekerja dan 14 pemandu baru.

“Operasi perkhidmatan kutipan sampah kebun & pukal tersebut akan bermula pada 17 September, 2021 mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu sebulan sekali di semua taman perumahan”, katanya kepada media sejurus selepas Majlis Pelancaran Program Perkhidmatan Sampah Kebun dan Pulal (Percuma) hari ini.

MBI telah memasang sebanyak 103 papan tanda jadual perkhidmatan kutipan sampah kebun & pukal secara percuma di seluruh Ipoh dan risalah untuk edaran serta hebahan melalui media massa.

Warga kota Ipoh juga boleh mendapatkan jadual kutipan sampah seluruh kawasan majlis dengan mengimbas QR Code di papan tanda, risalah dan portal majlis.

Untuk perkhidmatan itu, MBI telah menetapkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi antaranya sampah seperti daun-daun, rumput rumpai dan bahan-bahan yang kecil hendaklah dimasukkan ke dalam beg plastik sampah dan diikat dengan kuat.

Dahan kayu dan ranting-ranting hendaklah dipotong pendek disusun dan diikat dengan kuat. Bagi perabut-perabut pula hendaklah memecahkannya terlebih dahulu kepada kepingan yang kecil serta disusun dan diikat dengan kuat.

“Pihak majlis tidak akan memungut tunggul-tunggul pokok atau batang-batang pokok yang besar. Kutipan hanya dibuat sebulan sekali mengikut jadual yang telah ditetapkan, tiada perkhidmatan tambahan selain daripada tarikh yang telah ditetapkan di dalam jadual.


“Penduduk hanya dibenarkan mengeluarkan sampah kebun sehari sebelum jadual kutipan dijalankan. MBI berharap agar wargakota Ipoh sentiasa mengamalkan budaya penggunaan tong sampah bagi meningkatkan kualiti persekitaran yang bersih,” katanya.

Mengikut Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap, MP1 1986. UUK 3(1), pemunya atau penduduk hendaklah menyediakan dan menyelenggarakan tong sampah dengan bibir tutup rapat tidak lebih daripada 0.085 cu. meter pada isipadunya.

UUK 3(2), semua sampah sarap isi rumah hendaklah dimasukkan ke dalam beg plastik dan diikat kuat sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah.


ends//