MUALIM – Nasib sembilan keluarga di Mukim Slim di sini yang rumah mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat semalam mendapat perhatian daripada pasukan sukarelawan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), ResQ Team.

Seramai 22 ahli-ahlinya terdiri daripada pensyarah, petugas bukan akademik dan pelajar digerakkan bagi membantu membersihkan kediaman terjejas.

Pengarah Pusat Transformasi Komuniti UPSI, Prof Madya Dr. Norkhalid Salimin, penghantaran sukarelawan itu setelah pihaknya menerima maklumat daripada Angkatan Pertahanan Awam Daerah Muaalim dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Menurut beliau, pasukan diketuai Pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Farizul Athir Mohd Ramli dihantar membantu kerja pembersihan di dua perkampungan yang terjejas teruk iaitu Kampung Sungai Muda dan Kampung Lintah Piung.

“Unit Pengangkutan UPSI menyediakan empat kenderaan pacuan empat roda dan dua van untuk membawa sukarelawan dan peralatan dalam misi ini.

“Ketika ini dua pusat pemindahan sementara telah dibuka iaitu di Surau Kampung Sungai Muda menempatkan dua keluarga manakala lima keluarga di Dewan Orang Ramai Slim Village ,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md. Amin Md Taff berkata, ini adalah misi kali ketiga berturut-turut tahun ini melibatkan pasukan Resq Team UPSI dalam bantuan kemanusiaan.

Katanya, sebelum ini pasukan berkenaan terlibat membantu mangsa musibah di Yan Kedah, dan banjir di Alor Pongsu.

“Ini juga kejadian banjir kali kedua di Kampung Lintah Piung selepas bulan Febuari lalu

“Pegawai Daerah Muallim, Mohamad Fitri Hassan turut hadir sama semasa misi pembersihan rumah penduduk,” ujarnya.