TELUK INTAN – Harga ayam pada semua peringkat akan terus dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan secara tidak munasabah.

Ini kerana kesalahan tersebut boleh dikenakan tindakan tegas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, pihaknya telah mengambil beberapa pendekatan berhubung isu kenaikan harga jualan ayam di pasaran seperti melakukan
sesi libat urus dengan penternak dan peladang ayam.

Menurut beliau, langkah lain termasuk pemeriksaan menyeluruh oleh pegawai penguat kuasa di semua peringkat rantaian bekalan ayam dan tindakan oleh Pasukan Petugas Khas Putrajaya bagi menangani isu kenaikan harga ayam di pasaran.

“Misalnya kita berjaya mengurangkan harga ayam dalam operasi di Pasar Awam Teluk Intan di daerah Hilir Perak dan Hutan Melintang di daerah Bagan Datuk.

“Hasil pemeriksaan oleh pasukan dari Putrajaya dan Perak itu, peniaga di kedua-dua pasar awam tersebut bersetuju menurunkan harga ayam daripada RM10.50 sekilogram kepada RM9.50 sekilogram,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Terdahulu, beliau mengetuai operasi pemantauan harga ayam dan penguatkuasaan harga maksimum kit ujian pantas antigen Covid-19 di sekitar Teluk Intan dan Hutan Melintang.

Sementara itu, menurut Azman, pemantauan penguat kuasaan harga maksimum kit ujian pantas antigen Covid 19 tersebut di beberapa farmasi di dua kawasan itu mendapati ia tidak dijual melebihi harga yang telah ditetapkan iaitu RM16 pada peringkat borong dan RM19.90 untuk peruncit.

Katanya, terdapat juga premis yang menjual kit ujian pantas pada harga yang lebih rendah daripada harga maksimum yang telah ditetapkan iaitu RM18.

“KPDNHEP akan terus memantau secara berterusan untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menjual harga kit ujian tersebut melebihi harga maksimum.

"Pengguna bolehlah menyalurkan maklumat serta aduan kepada pihak KPDNHEP sekiranya terdapat salah laku oleh peniaga melalui portal e-aduan.kpdnhep; pusat panggilan 1-800-886-800; e-mel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. dan WhatsApp 019-279 4317," ujarnya.