IPOH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun lemas setelah dipercayai terjatuh dalam Sungai Kinta dekat Taman Desa Pelancongan, Pasir Puteh di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Hakimi Nor Izzudin telah dinaikkan ke tebing oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.23 pagi.

Menurut jurucakap tersebut, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dihantar ke tempat kejadian.

"Berdasarkan maklumat, mangsa bersama dua rakan sedang bermain di kawasan tersebut.

"Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kinta ketika bermain sebelum kejadian disedari orang awam setelah rakannya meminta bantuan," ujar jurucakap tersebut.

Pihak bomba telah memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada mangsa sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai PBK II (KUP) Yusma Mohd. Yusof tamat pada pukul 1.01 tengah hari.