BAGAN DATUK - Seekor anak anjing diselamatkan bomba setelah terperangkap dalam lubang tandas sebuah rumah kosong di Taman Muhibbah, Hutan Melintang dekat sini semalam

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.24 pagi.

Kata jurucakap tersebut, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu.

"Setiba di lokasi, pemeriksaan anggota bomba mendapati seekor anak anjing telah terperangkap dalam lubang tandas di rumah kosong tersebut.

"Anggota menggunakan peralatan khas untuk memecahkan lubang tandas bagi mengeluarkan anak anjing malang itu dan kemudian diserahkan kepada penjaga," ujar jurucakap tersebut.

Operasi yang diketuai PBK II Mohd. Hisham Mat Noh itu tamat pada pukul 12.34 tengah hari.