IPOH - Kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini petang semalam menyebabkan laluan itu di Kilometer 42.95 ditutup sepenuhnya pada kenderaan malam tadi.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta dalam satu kenyataan memberitahu, kejadian membabitkan laluan sepanjang 30 meter dengan lebar lima meter yang dikesan 5.45 petang semalam.

Kata kenyataan itu, susulan insiden tersebut Seksyen 43.9 ditutup sepenuhnya kepada semua aliran trafik bermula 9 malam tadi.

"Runtuhan laluan di kawasan cerun terbabit berkemungkinan disebabkan faktor hujan berterusan yang menyebabkan struktur tanah menjadi lemah serta tidak kukuh.

"Susulan itu, jabatan terbabit bersama syarikat konsesi Belati Wangsa (M) Sdn Bhd. melakukan pemantauan di lokasi terbabit," ujar kenyataan itu.

Pengguna jalan raya bagaimana pun masih dapat menggunakan jalan alternatif iaitu Laluan FT059, Jalan Tapah-Ringlet.