IPOH – Seramai 26 penghuni Rumah Orang-orang Tua Simee di sini dijangkiti Covid-19 dan kini langkah-langkah pencegahan sewajarnya telah dilakukan oleh pihak pengurusan Rumah Orang-orang Tua Simee di sini termasuk kerja-kerja pembersihan.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh berkata, jangkitan bermula apabila dua orang penghuninya demam Rabu lalu dan ujian saringan yang dilakukan kemudian mendapati salah seorang daripada positif Covid-19.

Menurut beliau, susulan itu ujian saringan dilakukan oleh pihak pengurusan rumah berkenaan dan mengesan 14 penghuninya positif lalu dikenakan kuarantin manakala kerja-kerja disinfeksi dilakukan.

“Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choy telah menghubungi pihak Jabatan Kesihatan Daerah (JKD) Kinta pada Khamis bagi menjalankan ujian saringan lanjut pada 14 penghuni tadi.

“Hasil saringan itu, seramai 10 penghuni telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi rawatan lanjut manakala empat yang lain terus menjalani kuarantin di rumah berkenaan,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook.

Rumah jagaan tersebut menempatkan kira-kira 43 orang penghuni warga emas yang berusia antara 65 hingga 80 tahun.

Ujian saringan yang dijalankan oleh pihak JKD Kinta terhadap penghuni lain dan petugas rumah kebajikan itu mendapati kesemuanya negative Covid-19.

Bagaimana pun, 10 lagi penghuni dikesan positif pada Sabtu lalu.

Kata Kah Woh, dua daripada penghuni yang dirawat di HRPB kini telah dibenarkan keluar setelah keadaan mereka pulih manakala yang lain dirawat termasuk di Hospital Sungai Siput.

“Kejadian jangkitan ini mengejutkan memandangkan rumah kebajikan ini tidak menerima pelawat sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan tahun lalu.

“Buat masa ini tiada lagi kes positif dikesan dan kita akan memantau situasi dari semasa ke semasa,” ujarnya.