IPOH – Seramai 300 usahawan asnaf zakat Perak menerima sumbangan tablet dan pelan data internet daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebagai usaha membantu melonjakkan perniagaan mereka secara digital.

Kesemua penerima ini adalah usahawan asnaf yang telah dikenal pasti di mana perniagaan mereka sesuai dengan kaedah tersebut.

MAIPk dalam satu kenyataan memberitahu, bantuan tablet dan pelan data internet ini adalah salah satu usaha MAIPk menggerakkan ekonomi masyarakat marhaen menerusi Dana Khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diumumkan sebelum ini.

Menurut kenyataan itu, bantuan ini juga sebagai usaha prihati MAIPk setelah mendengarr rintihan dan kesulitan peniaga dalam kalangan asnaf yang sukar memasarkan produk mereka semasa PKP.

“Sebanyak RM295,882 telah dibelanjakan untuk program ini iaitu RM231,000 bagi tablet manakala RM64,882 adalah pelan data internet selama tiga bulan.

“Diharapkan juga antara para usahawan ini dapat bersama-sama bertukar maklumat kerana dunia pendigitalan perniagaan ini sentiasa berubah-ubah dan terkini,” ujar kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, majlis penyerahan sumbangan bantuan tablet turut diadakan secara simbolik melibatkan 10 penerima yang telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), Wan Maizura Wan Zahari.