IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berjaya meraih Anugerah Emas Regional Innovation Showcase On Team Excellence (RISTEX) 2021 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada Majlis Perasmian Penutupan dan Penganugerahan RISTEX 2021 yang diadakan secara maya, hari ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, MBI melalui kumpulan SmartBiz20 dengan projek Inovasi Sistem MyNoRisk@MBI itu terpilih bersama 195 penyertaaan lain, berjaya merangkul Anugerah Emas manakala enam kumpulan lain memperolehi Anugerah Perak.

"Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang Piala, Sijil Penyertaan dan Sijil Penghargaan dan seterusnya layak ke Peringkat Kebangsaan bagi menyertai Annual Productivity and Innovation Showcase (ArISe) 2021 yang akan diadakan pada bulan November ini," jelasnya.

Menurutnya, kumpulan SmartBiz20 yang diketuai Kamarosli Din yang juga Ketua Penolong Pengarah (Pelesenan) MBI telah melakukan persembahan projek berkenaan secara maya di RISTEX 2021 MPC Wilayah Utara pada 8 September lalu.

"Semoga pengiktirafan yang diperolehi MBI ini akan memberikan suntikan semangat kepada warga MBI untuk menghasilkan idea-idea inovasi dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik buat warga bandar raya Ipoh," ujarnya.