IPOH - Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Perak berjaya merampas 43 tong gas LPG dalam serbuan di Tapah hari ini.

Serbuan pada pukul 6 pagi itu hasil maklumat awam dan pemantauan yang dilakukan sejak dua minggu lalu.

KPDNHEP negeri Perak dalam satu kenyataan memberitahu, pemeriksaan dilakukan pada sebuah lori bermuatan LPG yang diletakkan di kawasan parkir di satu kawasan perumahan awam di Tapah.

Menurut kenyataan itu, pasukan serbuan telah berjumpa dengan seorang lelaki berusia 36 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori tersebut.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lori telah gagal mengemukakan lesen berniaga runcit barang kawalan LPG atas pendaftaran syarikat yang dijalankan.

"Bekalan barang kawalan LPG di perolehi daripada pembekal dari luar negeri Perak," ujar kenyataan tersebut.

Pemandu lori telah diarahkan untuk membuat pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta kawalan Bekalan 1961.

Kata kenyataan itu lagi, seterusnya pasukan serbuan telah menyita 43 buah tong pelbagai jenama (berisi), 47 buah tong kosong dan sebuah lori jenis Hicom.

"Kesemua 90 tong LPG yang telah disita itu dianggarkan dengan nilai rampasan sebanyak RM 8,248.80

"Kes disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) pesalah boleh dikenakan penalti sekiranya disabitkan dengan kesalahan di bawah akta tersebut," kata kenyataan itu.