MANJUNG - Lebih 70 buah rumah penduduk di beberapa kampung di sekitar Manjung dan Sitiawan rosak dalam kejadian ribut selama kira-kira 30 minit yang menyebabkan suasana cemas pada penduduk setempat.

Antara yang teruk ialah di Kampung Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Taman Samudera di Manjung dan Fasa 3A Seri Manjung.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor berkata, kira-kira 70 rumah di daerah Manjung dilaporkan rosak akibat kejadian ribut kira- kira 30 minit malam tadi.

Beliau percaya bilangan rumah yang terlibat lebih tinggi kerana masih ada penduduk yang belum membuat laporan kejadian itu.

"Pejabat Daerah dan Tanah Manjung serta pihak kontraktor akan membuat penilaian terhadap semua rumah yang terlibat sebelum melakukan kerja-kerja pembaikan secepat mungkin," ujarnya

Dalam pada itu, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung (Zon 5) Norhaslinda Zakaria berkata, beliau mengucapkan terima kasih atas maklumat pantas yang disampaikan oleh komuniti setempat.

"Selepas ribut dan hujan lebat reda, saya terus melawat kawasan Zon 5 , melihat sendiri rumah-rumah penduduk yang dihempap pokok dan ada yang bumbung terbang dibawa angin kuat.

"Laporan sudah dibuat, mengenai pokok yang menghempap beberapa rumah juga pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga sudah dimaklumkan kerana ada sebuah rumah kerosakan kabel elektrik," ujarnya.

Susulan kejadian itu juga, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Manjung, Nurul Nabilah Ramli dan Penghulu Mukim Sitiawan, Zarina Abdullah pagi tadi.

Turut turun padang ialah sukarelawan Perikatan Nasional (PN) Lumut.