PARIT - Seramai 13,727 pelajar tingkatan empat dan lima di negeri ini telah menerima satu dos suntikan vaksin Covid-19 sejak program vaksinasi kepada kelompok remaja itu bermula Isnin lalu

Pengerusi Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, ia melibatkan sebanyak 41 pusat pemberian vaksin (PPV) yang disediakan termasuk di sekolah.

Menurut beliau, bagi memastikan kelancaran proses vaksinasi selepas ini semua remaja sekolah akan menerima temujanji untuk divaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau portal Vaksin Anakku.

"Semua PPV di Perak termasuk sekolah tidak lagi akan menerima remaja sekolah yang datang secara terus (walk in) untuk divaksin bagi mengelakkan kesesakan.

"Sebaliknya pemberian vaksin kepada golongan berkenaan akan dilaksanakan melalui janji temu yang ditetapkan menerusi aplikasi MySejahtera atau portal Vaksin Anakku seperti tarikh dan waktu temujanji," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan program Vaksin Anakku di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Azlan Shah, Seri Iskandar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Saidi berkata, pihaknya turut dimaklumkan bahawa sambutan yang diterima melalui program Vaksin Anakku ini amat luar biasa dalam kalangan ibu bapa pelajar

Katanya, terdapat ibu bapa yang hadir ke sekolah serta PPV untuk bertanya tentang permohonan di bawah program Vaksin Anakku.

"Ini menunjukkan kesungguhan ibu bapa bagi memastikan anak-anak mereka menerima suntikan demi menjamin keselamatan ahli keluarga menjelang pembukaan sekolah nanti," ujarnya.