IPOH - Bangunan Umno Perak menerima sumbangan tong sampah 660 liter buat pertama kali dalam tempoh 15 tahun bagi menggantikan tong sampah sedia ada yang rosak di premis berkenaan. 
 
Sumbangan tong sampah itu adalah inisiatif Ketua Whip Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Tambun, Datuk Mazlan Abd Rahman yang amat menitikberatkan isu kebersihan di sekitar bandar raya Ipoh. 
 
Menurutnya, walaupun sumbangan tong sampah dilihat kecil, namun pemberian itu memberi makna yang cukup besar buat dirinya. 
 
Katanya, Umno adalah survival orang Melayu dan tanpa parti itu, beliau mungkin tidak akan berada di tahap sekarang dan tidak akan dilantik menjadi Ahli Majlis. 
 
“Berikutan itu, saya mengambil inisiatif mencari sedikit peruntukan bagi membantu menyumbangkan tong sampah untuk menggantikan tong sampah lama yang sudah reput," ujarnya selepas ketika menyerahkan tong sampah terbabit kepada Setiausaha Kerja Umno Perak, Datuk Mohd Salleh Mat Disa.
 
Sementara itu, Mohd Salleh menzahirkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan Mazlan di atas sumbangan terbabit. 
 
"Selama 15 tahun, Umno telah membeli sendiri beberapa tong sampah besar dan ini adalah kali pertama disumbangkan oleh individu.
 
“Inilah tanda keprihatinan pemimpin dan mudah-mudahan dengan sumbangan ini, kita dapat sejahterakan kehidupan kita," katanya.