IPOH - Seorang pengasuh wanita ditahan polis susulan kejadian bayi lelaki berusia tujuh bulan yang kini kritikal dipercayai dihempas suspek kerana tidak berhenti menangis semasa dalam jagaannya.

Wanita berusia 22 tahun itu dipercayai menghempas kepala bayi lelaki itu sebanyak dua kali sebelum menyedari mangsa tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menerima satu laporan berkenaan cubaan bunuh terhadap bayi berusia tujuh bulan pada pukul 3.03 pagi Khamis lalu.

Menurut beliau, bayi itu dihantar bapanya ke rumah pengasuh di Taman Desa Pelancongan di sini pada pukul 7.30 pagi Rabu dalam keadaan sihat dan baik.

“Bapa mangsa telah dihubungi oleh pengasuh itu pada pukul 2.35 petang untuk datang ke rumahnya kerana mangsa dikatakan terjatuh dari ‘baby walker'.

"Setibanya ke rumah pengasuh, bapa mangsa mendapati kepala bayinya ada kesan bengkak dan dimaklumkan bahawa mangsa terjatuh ketika didukung," ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dan pemeriksaan mendapati ada pendarahan pada kepala dan tempurung kepalanya retak.

Menurut Mior Faridalathrash, mangsa ketika ini berada dalam keadaan tidak sedar dan kritikal.

“Susulan itu polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat my Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.