BATU GAJAH – Pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) secara pandu lalu di Silverlakes di sini akan merancakkan lagi program vaksinasi sedia ada di samping dapat menampung pertambahan kapsaiti penerima.

Penerima vaksin dos kedua di PPV Dewan Bandaran Kinta, Ipoh akan dipindahkan ke sini secara berperingkat-peringkat bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, perpindahan itu
dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan kekangan tempat letak kenderaan di PPV Dewan Bandaran Kinta.

Menurut beliau, ia juga bagi menyediakan ruang yang lebih selesa di PPV Dewan Bandaran Kinta pada penerima vaksin dos pertama.

“Pembukaan PPV Silverlakes tepat pada masanya kerana kapasiti penerima dos kedua di Dewan Bandaran Kinta telah melebihi kapasiti iaitu 1,200 dos penerima sehari.

“Pada masa sama, program vaksinasi golongan remaja yang berumur 12 hingga 17 tahun telah dijalankan di PPV Dewan Bandaran Kinta sejak Isnin lalu, jadi kita perlu mengelakkan kesesakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi PPV Silverlakes secara pandu lalu

Pemberian suntikan menerusi kaedah ini juga lebih memudahkan proses penerimaan vaksin tanpa perlu secara bersemuka sekali gus dapat mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.

Dalam perkembangan lain kata Mohd Akmal, kemungkinan beberapa PPV di Perak bakal ditutup pada Oktober depan susulan hampir semua penduduk dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagaimana pun katanya, kerajaan negeri masih meneruskan program outreach vaksinasi bagi memastikan lebih ramai individu dapat menerima suntikan vaksin masing-masing.

“Angka terkini sehingga semalam kira-kira 86.9 peratus atau 1.61 juta individu berusia 18 tahun telah menerima dos pertama manakala lengkap dua dos mencapai 68 peratus atau 1.26 juta orang.

“Jumlah penduduk yang telah mendaftar untuk menerima vaksin adalah kira-kira 1,624,860 atau 87.24 peratus daripada populasi keseluruhan di Perak,” ujarnya.