IPOH - Kelab Belia Abrar menggerakkan projek 'Infaq Makanan Hari Jumaat' bagi memberi ruang kepada masyarakat awam untuk menyumbang dan menjadi platform bagi penyumbang membeli produk makanan daripada peniaga-peniaga melalui kaedah penjimatan tanggungan modal.
 
Pengerusinya, Muhammad Syukri Alimar Shidi berkata, projek berorientasikan infaq dan sedekah itu bukan menjurus kepada keuntungan perniagaan semata-mata.  
 
"Melalui projek ini ia secara tidak langsung membuka peluang kepada semua peniaga dan penjaja untuk bersedekah produk makanan mereka dengan penjimatan tanggungan modal sekaligus mewujudkan platform untuk orang ramai menyumbang pada hari Jumaat. 
 
"Konsep ini diperkenalkan atas dasar kefahaman terhadap kepentingan bersedekah dan meraih keberkatan rezeki terhadap perniagaan," jelasnya kepada Peraktastic. 
 
Beliau berkata, konsep itu turut diambil atas dasar timbal semula peniaga yang berhajat untuk bersedekah dan dalam masa sama bergelut dengan kemampuan pusingan modal perniagaan di zaman pandemik yang penuh mencabar. 
 
"Setakat ini, kita telah melaksanakan projek terbabit secara percubaan sebanyak dua kali dan Jumaat lalu kita berjaya infaq 200 bungkus makanan, cendol, ais batu campur dan ais kepal yang disediakan Warung Susu Farm Fresh Aiman, Sungai Rokam.
 
"Kita bercadang untuk melakukan projek ini sekurang-kurangnya dua kali sebulan dan mengalu-alukan kepada semua peniaga dan penyumbang yang berminat untuk menyertai projek infaq ini," jelasnya. 
 
Kepada mereka yang berminat atau ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh hubungi Muhammad Syukri di talian 013-456 0610. 
 
Kelab Belia Abrar adalah sebuah kelab yang bernaung di bawah seliaan Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Kampung Sungai Rokam, Ipoh. 
 
Pelbagai aktiviti kebajikan telah dijalankan kelab terbabit antaranya Gerobok Rezeki (Food Bank) bagi membantu golongan memerlukan di saat pandemik Covid-19.