TAIPING – Sebatang pokok hujan-hujan tumbang di Raintree Walk, Taman Tasik Taiping yang menjadi tumpuan lensa pengunjung semasa datang beriadah di taman rekreasi ini telah reput dan mati.

Pokok berusia 136 tahun itu tumbang pada Januari 2018 ke arah jalan menghala tasik disebabkan kegagalan sistem akarnya sebelum usaha memuliharanya dilakukan oleh Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

Yang DiPertuan MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, berita itu amat mendukacitakan kerana pokok berkenaan merupakan antara warisan yang dipulihara di taman tersebut.

Menurut beliau, akar utama yang menguat dan menahan dirian pokok ini sedalam kira-kira 1.5 meter dikesan telah mereput.

“Pokok ini telah sekian lama ditegang kuatkan oleh akar besar ini yang tumbuh ke arah parkir.

“Manakala sebahagian besar dari dahan-dahan utama serta batangnya pula tumbuh condong menghala ke arah jalan dan tasik,” ujarnya dalam kenyataan pada Mesyuarat Penuh Bulanan MPT di sini.

Sebelum ini, laporan pemeriksaan dan penilaian pokok warisan di Taman Tasik Taiping oleh arboris bertauliah pada tahun 2019 menjangkakan keadaan pokok yang akan merosot dan perlu dipantau segera.

Tindakan memasang besi penyokong dan merawat pokok juga dibuat seperti yang dicadangkan pihak arboris.

Menurut Khairul Amir, penanaman semula pokok Hujan-hujan sebagai langkah penggantian pokok yang mati juga telah dilakukan pada tahun 2019 apabila tiga batang pokok telah ditanam di kawasan berhampiran lokasi asal pokok tumbang atau mati.

“Pokok yang mati ini akan dijadikan objek kayu arca di Taman Tasik Taiping.

“Manakala, besi penyokong sedia ada akan diguna semula pada pokok yang memerlukan seperti berhampiran kawasan tandas awam,” ujar beliau.