IPOH – Sebanyak 26,421 kilogram (kg) tepung gandum pelbagai jenama yang disimpan di sebuah premis kawasan perindustrian Mengelembu di sini dirampas pihak penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Perak dalam satu operasi semalam.

Serbuan pada pukul 4 petang itu dilakukan sepasukan anggota penguatkuasa KPDNHEP yang menjalankan operasi ke atas sebuah premis yang disyaki menyimpan barang kawalan berjadual tanpa lesen.

KPDNHEP negeri Perak dalam satu kenyataan memberitahu, operasi itu yang berakhir kira-kira pukul 6 pagi tadi di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurut kenyataan tersebut, kesemua tepung gandum yang ditemui di tempat kejadian telah disita dengan nilai dianggarkan berjumlah RM53,476.49

“Siasatan lanjut akan dibuat di bawah Sesyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki menyimpan barang kawalan secara tidak sah yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta yang sama.

“Menurut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961, hukuman denda sehingga RM1 juta, penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika sabit kesalahan,” ujar kenyataan itu.

Sehubungan itu, KPDNHEP Perak memberi peringatan kepada para peniaga yang terlibat dengan perniagaan barang kawalan di bawah bidang kuasa agensi itu untuk sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa.

Jika terdapat isu-isu berkaitan penyelewengan barang kawalan di mana-mana kawasan, orang ramai diminta untuk melaporkan kepada pihak KPDNHEP Perak untuk tindakan susulan.