IPOH- Sejak Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan (SMKRP) menjadi anak angkat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), pelbagai kejayaan telah dicapai sekaligus meletakkannya antara sekolah yang cemelang di negeri Perak.

Pengetua SMRP, Wiza Rozahrin Mohamed Radzi berkata sokongan dan bantuan yang diterima telah menyumbang  kejayaan serta kecemerlangan sekolah dan murid-murid.

“Kejayaan ini jelas terlihat dari pelbagai aspek antaranya peningkatkan kualiti pendidikan, kelestarian alam sekitar dan persekitaran infrastruktur mahupun teknologi masa kini.

“Baru-baru  ini, MBI telah memberikan sumbangan sebanyak lima buah peranti (iPad)  kepada lima orang murid serta 50 buah kotak rezeki kepada 50 orang murid dari keluarga B40. Ditambahi pula Pelancaran MBIFreeWIFI  turut membantu kelancaran pelaksananaan Pengajaran dan Pendidikan Di Rumah  (PdPR) oleh guru-guru terutama sewaktu pembukaan sekolah pada Fasa 2 ini. 

“Sememangnya kami memerlukan kemudahan jaringan internet yang baik bagi melaksanakan PdPR di sekolah. Kemudahan internet yang disediakan di tempat-tempat utama SMKRP mampu memudahkan pengurusan dan pentadbiran sekolah,” katanya sewaktu ditemubual secara dalam talian baru-baru ini.

SMKRP mendapat tempat ke-3 dalam Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Bersih Peringkat Kebangsaan 2019 bagi kategori sekolah menengah.  Pada tahun ini sekali lagi SMKRP mewakili Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), MBI dalam Pertandingan Pengiktirafan Tandas Bersih Peringkat Kebangsaan 2021 anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Selain itu, SMKRP pernah memenangi Anugerah Sekolah Lestari - Kategori Penghijauan Tahun 2019 dan Johan Toyota Eco Youth, Tahun 2017 peringkat  kebangsaan bertepatan dengan usaha pihak MBI untuk menjadikan bandar raya Ipoh bumi hijau.

Wiza Rozahrin berkata, kerjasama pihak MBI melaksanakan pembinaan laman 5R memberi kesan baik dalam memupuk warga SMKRP untuk menghargai serta memelihara alam sekitar.

“Pembinaan arca kebitaraan telah menceriakan kawasan sekolah dan menjadi kebanggaan kami. Begitu juga jejantas yang telah dibaik pulih memberikan kemudahan yang selamat bagi murid-murid asrama untuk pergi dan balik sekolah.

“Namun begitu terdapat beberapa kemudahan infrastruktur yang perlu dinaik taraf antaranya membina semula  gelanggang hoki dan bola jaring yang tidak lagi selamat dan sesuai untuk digunakan.

 "Menaik taraf bilik multimedia untuk dijadikan ‘green studio’ serta dilengkapi dengan kemudahan alat audio dan visual sememangnya menjadi harapan kami.

 “Walaubagaimanapun, sakalung penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin@ Md Daud kerana memilih SMKRP sebagai anak angkat MBI pada 2021. Diharapkan dengan kerjasama yang terjalin ini akan dapat membantu kedua-dua pihak untuk mencapai objektif dan tujuan seperti mana  yang diharapkan,” katanya.