Pemandu Innova maut kemalangan dengan lori muatan ayam
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 470
TAPAH – Seorang pemandu maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori ayam di Kilometer (KM) 316.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 4.45 pagi itu, mangsa seorang lelaki Cina yang mengalami kecederaan parah terperangkap dalam kenderaan dipandunya sebelum terbakar.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.49 pagi.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan.
“Setibanya bomba di tempat kejadian, api sedang marak membakar dua buah kenderaan termasuk kereta dipandu mangsa.
“Kebakaran melibatkan sebuah lori muatan ayam yang musnah 60 peratus pada bahagian hadapan dan Toyota Innova yang terbakar 90 peratus,” kata jurucakap tersebut.
Difahamkan, kemalangan berlaku akibat kemalangan lori yang terbabas dan melanggar belakang kereta tersebut.
Anggota bomba kemudian bertindak memadamkan kebakaran sebelum mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai PBK II Rahman Ibrahim itu tamat sepenuhnya pada pukul 5.48 pagi.