Buang apa tu?
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 534
IPOH – Satu video tular menunjukkan tindakan tiga individu yang dipercayai membuang bahan buangan ke dalam Sungai Kinta di Jalan Sultan Iskandar di sini mendapat kecaman warga maya.
Walaupun tidak dapat dipastikan apa yang dibuangkan ke dalam sungai tersebut, namun ia tidak sepatutnya dilakukan kerana telah mencemari kebersihan sungai.
Perbuatan tersebut dirakam individu tidak dikenali di atas Jambatan Sultan Iskandar dan dipercayai berlaku semalam pada pukul 9.15 pagi.
Walaupun lokasi berkenaan sibuk dengan kenderaan lalu lalang kerana terletak di tengah-tengah bandar Ipoh tetapi ia tidak disedari oleh orang ramai.
Video berdurasi 44 saat itu mula viral apabila dikongsi pelayar laman sosial Facebook dan mendapat pelbagai respon daripada orang ramai.
Menerusi rakaman tersebut, individu berkenaan termasuk seorang wanita yang berada di tangga tebing telah bertindak membuang sesuatu dari enam tong plastik berwarna biru sebelum tong-tong itu dicampak ke tebing.
Tong-tong tersebut kemudian dikumpulkan sebelum kesemua mereka beredar menaiki sebuah kereta yang diletakkan di tebing sungai.
Berdasarkan pakaian ketiga-tiga mereka, kelihatannya seperti pekerja restoran atau kedai makan termasuk seorang lelaki memakai but plastic berwarna kuning yang juga dikenali sebagai ‘kasut Pua Chu Kang’ iaitu satu siri sitcom popular di Singapura.
Rata-rata warga maya menganggap tindakan tersebut tidak sepatutnya dilakukan apatah lagi Sungai Kinta merupakan antara sungai bersih di negeri ini.
Ada juga menyifatkan tindakan tersebut sebagai memalukan warga bandaraya Ipoh yang dikenali sebagai bandar lestari.