IPOH - Program Residensi Seni@PORT dengan kerjasama Balai Seni Negara dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia telah melancarkan pameran seni visual berjudul 'Semesta', baru-baru ini.

Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Dato’ Mohamed Khairuddin berkata, pameran ini bertujuan menyediakan platform seni untuk karyawan muda tanah air.

"Objektif program residensi ini adalah untuk menyediakan sebuah platform bagi seniman-seniman muda menjelajah potensi pengkaryaan mereka," katanya kepada Peraktastic, di sini.

Beliau berkata, seniman muda ini akan diberi bimbingan bersesuaian, berkonsepkan mentor-mentee bagi memastikan halatuju pengkaryaan para peserta terlibat dalam tempoh tiga bulan.

Tambahnya, sesi pertama program ini akan dijalankan dengan bimbingan seniman masyhur tanah air, Bayu Utomo Radjikin, yang turut dilantik menjadi Penasihat Undangan.

'Semesta' membawa maksud ruang dan waktu yang merangkumi segenap lapisan makna kehidupan.

Sementara itu, peserta program, Izzat Aziz berkata, idea beliau adalah untuk menjelajah potensi bahan plastik yang dibuang untuk dijadikan naratif baru.

"Ia telah memberi suatu inspirasi untuk menghasilkan karya seni dengan menggunakan semua bahan plastik yang temui," katanya.

Manakala bagi Khalil Muhsain pula, beliau meneroka perhubungan di antara bahan tanah liat dan permukaan batuan di taman rekreasi yang terkenal di Ipoh iaitu Gunung Lang.

Karya bertajuk 'Tiang Tanah Air' menggabungkan tanah liat, besi dan air yang seakan-akan meniru proses semula jadi pembentukan batu yang dilihatnya di sekitar Ipoh.

Pada 25 September lalu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Dr. Santhara J.P., mengadakan kunjungan ke pameran itu bersempena lawatan kerja bersama delegasi MOTAC ke Perak.

Hadir sama, Pengarah MOTAC Negeri Perak, Asrul Zakaria.

Untuk info, Pameran residensi seni ini telah pun berlangsung pada 25 September lalu sehingga 15 Oktober 2021.

Waktu lawatan pameran ini bermula pukul 10:30 pagi hingga 06:30 petang, di Black House, PORT dan orang ramai yang ingin mengunjungi tapak pameran ini boleh menghubungi talian : 012-428 0184 (Nadhirah) bagi menempah slot temujanji lawatan.