IPOH – Kira-kira 7,000 pelajar Tingkatan Enam semester dua yang juga calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 di negeri ini memulakan sesi persekolahan secara bersemuka setelah lebih enam bulan menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat penularan COVID-19.

Walaupun tiada angka rasmi diberikan oleh Pejabat Pendidikan negeri Perak tentang jumlah calon tingkatan enam bersekolah, namun anggaran tersebut berdasarkan angka calon peperiksaan STPM negeri ini pada setiap tahun.
Perak mempunyai tiga buah Kolej Tingkatan Enam iaitu dua di Ipoh dan satu di Tapah manakala 54 buah lagi Pusat Tingkatan Enam yang menggunakan premis sekolah menengah terpilih.
 
Kolej Tingkatan Enam di Ipoh ialah di Kolej Seri Putera, Kolej Seri Ipoh manakala Kolej Tingkatan Enam Tapah di Tapah.
 
Selain pelajar tingkatan enam, turut memulakan persekolahan ialah murid bekeperluan khas (MBK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). 
 
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud 
mengadakan lawatan dan tinjaun ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward Taiping bagi meninjau sesi pembukaan sekolah bagi Tingkatan 6 Atas. 
 
Hadir sama Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat.
 
“Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar, terima kasih kepada guru-guru di SMK King Edward Taiping kerana memastikan segala SOP dipatuhi oleh para pelajar demi menjaga keselamatan dan kesihatan mereka.
 
“Seterusnya saya mengadakan lawatan dan tinjaun ke Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Larut bagi kelas Program Pendidikan Khas Intergrasi PPKI,” ujarnya menerusi hantaran pada laman Facebook beliau.
 
Di Ipoh, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sekolah berkenaan.
 
Pelajar Tingkatan Enam di sini teruja memulakan sesi persekolahan secara empat mata.
 
Tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael di sini mendapati pelajar tiba seawal 6.30 pagi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak sekolah.