IPOH - Pengguna jalan raya dari Chemor dapat menjimatkan 20 minit tempoh perjalanan ke Meru dan Klebang apabila Jalan Utama Meru Raya- Klebang siap pada tahun 2023.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi bin Baharin@Md Daud, berkata kesesakan jalan raya dari Chemor ke Meru pada waktu puncak sering menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna jalan raya tersebut.

"Kita dapati, sebelum ini, laluan utama dari Klebang ke Meru adalah melalui Pekan Chemor yang sentiasa sibuk pada waktu puncak," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Mendatangani Memorandum Persefahaman Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama empat syarikat Pemaju Pembinaan iaitu Syarikat Ain Bina Development Sdn.Bhd, Satin Tiara Sdn.Bhd, Scientex Quatari Sdn.Bhd dan Total Investment Sdn. Bhd dan disaksikan oleh Ahli Majlis MBI, Datuk Azizul Kama Abd Aziz.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengarah Urusan Total Investment Sdn. Bhd, Encik Tan Fun Kwai; Pengarah Eksekutif Total Investment Sdn. Bhd, Chong Wearn Cheit;
Pengarah Satin Tiara Sdn.Bhd,Tan Bun Cheu & Tan Chiew Seng; Pengurus Besar Projek Scientex Quatari Sdn.Bhd, Lee Teok Guah; Pengurus Jualan Scientex Quatari Sdn.Bhd,Wong Shiuh Jie; Pengarah Syarikat Ain Bina Development Sdn.Bhd.,Wan Yu Jin dan Pengarah Syarikat Ain Bina Development Sdn.Bhd., Sok Siak Nam.

Rumaizi berkata, cadangan jalan yang akan dibina ini adalah bagi menghubungkan Lebuh Chepor Utama 2 di Meru Perdana dengan Lebuh Klebang Putra di Klebang.

Oleh itu, katanya secara tidak langsung dengan pembinaan jalan ini akan menjimatkan masa perjalanan warga Ipoh disamping merancakkan aktiviti pembangunan di kawasan tersebut, terutamanya aktiviti perniagaan sediada di kawasan klebang putra dan meru perdana.

Tambahnya, pada masa ini terdapat 1,600 unit rumah sedia ada manakala 1,500 unit lagi sedang dalam pembinaan di Meru. Di Klebang pula terdapat 3,500 unit rumah dan anggaran penduduk di kedua-dua tempat ini adalah seramai 26,000 orang.  

Sementara itu, bagi mempercepatkan perlaksanaan projek ini, MBI akan melaksanakannya dengan kaedah ‘Smart Partnership’ bersama 4 (empat) syarikat pemaju iaitu Syarikat Ain Bina Development Sdn.Bhd, Satin Tiara Sdn.Bhd, Scientex Quatari Sdn.Bhd dan Total Investment Sdn. Bhd.

Katanya, anggaran kos yang terlibat untuk keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM 6.4 juta melibatkan pembinaan sebuah jambatan merentangi Sungai Klebang dan pembinaan jalan 4 (empat) lorong 2 (dua) hala sepanjang 1.6 km.

"Pihak Majlis menjangkakan dalam tempoh 5 tahun akan datang, dianggarkan sebanyak 1,617 buah rumah dan lot-lot kedai akan dibangunkan oleh pihak pemaju di kawasan ini dan pihak Majlis serta pihak Kerajaan Negeri Perak akan menerima anggaran hasil cukai daripada pembangunan ini sebanyak RM 323 ribu setahun."