IPOH - Mayat seorang lelaki ditemui tersangkut oleh pasukan penyelamat pada batu di Sungai Tonggang dekat Tanjung Rambutan di sini pagi tadi.

Identiti mangsa disahkan sebagai Mohammad Ridzwan Mohd. Kassim, 20.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak berkata, mangsa dipercayai lemas dan gerakan mencari telah dilancarkan sebelumnya.

Menurut jurucakap itu, operasi mencari mangsa telah dijalankan sebaik bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.17 pagi.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh telah dihantar ke tempat kejadian bagi menjalankan operasi mencari mangsa.

"Turut dikerah ialah tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang membuat pencarian kira-kira 2.5 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh," ujar jurucakap tersebut.

Mangsa kemudian telah ditemui tersangkut pada batu kira-kira 500 meter dari tempat dia dikatakan terjatuh pada pukul 10 pagi.

Mayat mangsa seterusnya dibawa ke tebing sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai TPgB Azman Hussin itu tamat sepenuhnya pada pukul 11 tengah hari.