IPOH - Perak mencatatkan prestasi pelaburan memberangsangkan sebanyak RM5.2 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 126 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, nilai pelaburan yang direkodkan dari Januari hingga Jun 2021 itu hampir menyamai prestasi nilai pelaburan keseluruhan sepanjang tahun 2020 yang berjumlah RM5.6 bilion.

"Jumlah tersebut turut merangkumi pelaburan RM2.34 bilion daripada lima syarikat yang diumumkan oleh Pihak Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada majlis komitmen pelaburan baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Menurut beliau, prestasi itu menunjukkan Perak masih mampu merekodkan peningkatan pelaburan meskipun berdepan dengan persekitaran sangat mencabar susulan pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan terhadap perjalanan ekonomi utama di seluruh dunia.

Pelaburan Januari hingga Jun 2021 di negeri Perak didominasi oleh projek-projek perkilangan apabila jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor itu adalah sebanyak RM4.06 bilion meliputi 21 buah projek.

Antara projek terbesar yang telah diluluskan dalam sektor perkilangan di negeri Perak sepanjang tempoh berkenaan adalah : -

A)  Sheng Long AquaTechnology (M) Sdn Bhd, syarikat dari Republik Rakyat China yang mempunyai kepakaran di dalam bidang  akuakultur & makanan akuakultur berprestasi tinggi.

B) Eco Medi Glove, syarikat dari Singapura yang menghasilkan Examination Gloves.

C) KL-Kepong Rubber Gloves, syarikat tempatan yang menghasilkan Examination Gloves yang diperbuat daripada Nitrile dan getah asli.

D) Onetexx Sdn. Bhd, syarikat yang akan membina kemudahan berintegrasi bagi pembuatan sarung tangan getah di Kamunting, Perak.

E) PNA Technologies Sdn. Bhd., syarikat pembuatan kelengkapan bagi industri automotif yang akan membuat pelaburan di Kampung Gajah, Perak.

F) Hicom Teck See Manufacturing Malaysia Sdn. Bhd, syarikat pembuatan komponen automotif yang akan membina kilang baru di Tanjung Malim, Perak.

G) Dynacare Sdn. Bhd, syarikat yang akan membina kilang pengeluaran sarung tangan di Taman Perindustrian Pelabuhan Lumut, Perak.

Beliau berkata, kesemua projek berimpak tinggi ini menyumbang 90 peratus daripada jumlah nilai pelaburan projek perkilangan dan mewakili 70 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan untuk pelbagai sektor yang diluluskan di negeri Perak bagi tempoh Januari hingga Jun 2021.

Sementara itu, bagi sektor perkhidmatan dan sektor utama pula, masing-masing mencatatkan jumlah pelaburan yang telah diluluskan sebanyak RM1.15 bilion dan RM0.022 juta. Jumlah projek untuk kedua – dua sektor ini adalah sebanyak 151 projek.

Tambahnya, kelulusan pelaburan dalam semua sektor diunjur mewujudkan 4,162 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat negeri Perak dengan sektor perkilangan menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 91.4 peratus.

"Kerajaan negeri akan terus menggiatkan usaha termasuk melipatgandakan kerjasama dengan pihak MIDA yang mambantu memperkasakan proses perniagaan selain meningkatkan kecekapan pelbagai fungsi organisasi."

Dalam pada itu, katanya antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk PACU@MIDA atau Unit Percepatan dan Koordinasi Projek yang menyediakan bantuan dari hujung ke hujung bagi semua projek yang diluluskan bagi memastikan proses pelaburan dapat dilaksanakan dalam masa yang ditetapkan