Isu anjing liar sememang tidak pernah habis.

Biarpun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah sedaya upaya cuba melaksanakan pelbagai tindakan untuk menangani permasalahan ini, namun sikap orang ramai mahupun pemilik haiwan seolah mencabar pihak berkuasa.

Antaranya pelanggaran peraturan dengan membiarkan haiwan berkenaan berkeliaran tanpa pengawasan.

Selain tidak memiliki lesen atau permit khas memelihara haiwan tersebut, ia turut menyumbang kepada masalah kebersihan dan kesihatan awam.

Peraturan perlesenan anjing sememangnya sudah termaktub dalam Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (MPI) 1987, di bawah akta PBT.

Tinjaun Peraktactic ke sebuah kawasan perindustrian di Kanthan, Chemor hari ini mendapati, kelihatan berbelas ekor anjing liar di situ.

Populasi haiwan ini semakin bertambah kerana ia dibiarkan tanpa pengawasan pemilik haiwan berkenaan.

Selain menyebabkan keadaan kotor apabila anjing-anjing ini memakan sampah di sekitar premis-premis perindustrian, ia juga menyumbang kepada penyakit bawaan haiwan ini.

Seorang pekerja industri, Mohd Abdul Rauf Manan,52, memberitahu, terdapat individu tertentu yang sering datang dan memberikan makanan kepada kumpulan haiwan berkenaan.

"Keadaan ini menyebabkan semakin banyak anjing yang datang entah dari mana ke sini. Adakalanya ia turut mengganggu pekerja-pekerja yang berjalan kaki mahupun berbasikal," katanya.

Sementara itu, hasil pemerhatian di kawasan itu juga, haiwan berkenaan seolah-olah mengerti waktu untuk ia makan iaitu pada jam 12 tengahari dan 4 petang.

Individu berkenaan akan datang pada waktu berkenaan untuk memberi ia makan.

Tidak salah menyatuni haiwan berkenaan, tetapi biarlah ia dalam keadaan yang teratur seperti diikat dengan sempurna selain didaftarkan dengan lesen yang sah.

Oleh itu, kerjasama orang ramai juga amat diperlukan supaya dapat mengawal populasi haiwan tersebut agar tidak mengotorkan sekitar kawasan awam.

Kita tidak mahu, isu hanya timbul apabila terjadinya kes-kes melibatkan kecederaan dan saling tunding menunding menyalahkan antara satu sama lain.