TANJUNG MALIM - Bank Rakyat menerusi Jariah al-Barakah membiayai yuran pengajian 25 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang kehilangan ibu bapa dan penjaga akibat Covid-19.

Ia membabitkan peruntukan tajaan sebanyak RM86,000 sebagai inisiatif bank berkenaan membuat kelompok yang memerlukan.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan memberitahu, sumbangan itu seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang melambangkan keprihatinan khususnya kepada mahasiswa.

“Inisiatif itu juga adalah salah satu usaha Bank Rakyat dalam menyokong aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dalam pelaksanaan program bantuan dengan menumpukan kumpulan sasar terjejas pandemik Covid-19,” katanya.

Terdahulu, sumbangan kepada mahasiswa terlibat disampaikan oleh Ketua Pematuhan Syariah Bank Rakyat, Mohd. Zamerey Abdul Razak kepada Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md Taff.

Pada majlis itu, Mohd. Zamerey turut menyerahkan sumbangan asnaf sebanyak RM30,000 bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar.

Jariah al-Barakah diperkenalkan pada tahun lalu merupakan inisiatif Bank Rakyat dan Surau Al-Barakah Bank Rakyat untuk menyediakan platform bagi warga kerja dan masyarakat membantu orang kurang berkemampuan.

Hasil kutipan dilaburkan dan keuntungannya akan disalurkan untuk pembangunan sektor pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi masyarakat.

Mereka yang berhasrat untuk menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Surau Al-Barakah, 11-0146-412-2 (Bank Rakyat) atau perkhidmatan JomPay (Biller Code: 26492).