IPOH- Isu kutipan sampah yang menjadi perbualan hangat netizen sekarang ini, akan diselesaikan secepat mungkin oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Bahrin @ MD Daud berkata masalah kutipan sampah yang berlarutan selama lebih dua bulan adalah berpunca dari pihak pengurusan syarikat konsesi.  

“Perkhidmatan kutipan sampah di bandar raya Ipoh ini melibatkan dua konsensi yang telah dilantik dan pihak MBI sendiri.

“Masalah yang sedang dihadapi oleh syarikat konsensi ialah ramai di antara pekerja-pekerja mereka dijangkiti virus COVID-19. Difahamkan kakitangan mereka juga telah tamat permit sebagai pekerja asing sekaligus menimbulkan masalah kekurangan pekerja.

“Walau bagaimanapun pihak MBI telah menjadualkan semula perkhidmatan kutipan sampah domestik dengan kekerapan dua kali seminggu mulai 20 September lalu namun ianya menimbulkan ketidak puasan hati masyarakat mahupun pihak MBI sendiri,” katanya kepada Peraktastic di Program Derma Darah dan Pengumpulan E-Waste di Dewan  Dato' Ahmad Said, Kampung Sungai Rokam, hari ini.

Menurut Rumaizi, bagi mengatasi masalah itu, pihak MBI akan menggunakan 10 buah lori sampah baharu yang bakal sampai hujung bulan ini untuk menjalankan kerja-kerja kutipan di kawasan yang terjejas.

“MBI telah mengambil seramai 100 orang pekerja di kalangan rakyat tempatan  secara kontrak untuk melancarkan kutipan sampah di sekitar kawasan terbabit.

“Kita juga akan mengenakan penalti kepada syarikat konsensi terlibat kerana kegagalan melaksanakan kerja-kerja pugutan sampah sepertimana yang dijadualkan sehinggalah mereka beroperasi seperti biasa semula,” tegasnya.