IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini tampil membantu Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) bagi menampung keperluan darah yang semakin berkurangan.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ MD Daud berkata bekalan darah di HRPB yang dilaporkan semakin berkurangan dan tidak dapat menampung keperluan pesakit-pesakit, menarik perhatian MBI untuk bersama-sama membantu.

“Bagi meningkatkan tabung darah di HRPB, MBI telah melaksanakan program derma darah dengan kerjasama pihak HRPB.

“Saya menyeru kepada semua khususnya kepada warga kota yang sihat tubuh badan agar dapat bersama-sama menjalankan kewajipan menderma darah bagi meyelamatkan nyawa pesakit-pesakit yang memerlukan,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Derma Darah dan Pengumpulan E-Waste di Dewan  Dato' Ahmad Said, Kampung Sungai Rokam, Ipoh pagi tadi.

Program sehari itu turut dihadiri oleh Ahli Majlis MBI Dato' Mohamad Nasri Shaari (ZON 22), Ahli Majlis MBI Mohd Annuar Baharudin (ZON 23) dan Ahli Malis MBI Abu Bakar Hussian (ZON 21).

Program ini turut dijayakan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan  Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP).