IPOH - Penahanan dua lelaki membawa kepada penemuan mayat seorang pesara tentera yang dibunuh di kawasan semak di Bukit Sumpitan dekat Selama kelmarin.

Penemuan mayat hampir busuk itu susulan kejadian seorang lelaki dilarikan dari rumahnya di Taman Ngah Ibrahim, Taiping secara paksa pada Ahad lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dua lelaki Melayu bersenjatakan besi menaiki kereta jenis Nissan Almera bertindak melarikan mangsa sebelum kejadian dilaporkan di Balai Polis Kuala Sepetang.

Menurut beliau, kehilangan mangsa dilaporkan keluarganya pada Isnin lalu.

"Berdasarkan siasatan, mangsa, 42, mengenali kedua-dua suspek yang terlibat dalam kejadian dipercayai bermotifkan cemburu.

"Salah seorang suspek menuduh mangsa menjalinkan hubungan dengan isterinya," ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan maklumat, polis telah menahan dua lelaki iaitu berusia 31 tahun di Taiping kelmarin dan seorang tentera berusia 34 tahun di Perlis malam tadi.

Hasil soal-siasat kedua-dua suspek telah membawa polis ke lokasi mayat mangsa ditemui.

Kata Mior Faridalathrash, pemeriksaan forensik pada tubuh mangsa menemui beberapa kesan tikaman dipercayai menggunakan senjata tajam.

"Mayat kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya.