IPOH - Semua Ketua Polis Daerah (KPD) diarahkan untuk memastikan tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai ditingkatkan pemantauan susulan kebenaran rentas negeri yang diberikan.

Ia juga berikutan cuti hujung minggu bersambung cuti umum yang menyaksikan tempat tumpuan orang ramai menjadi perhatian.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, antaranya seperti lapangan terbang, stesen keretapi, kawasan rehat dan rawat serta lokasi perkelahan dan pelancongan.

Menurut beliau, untuk itu pemeriksaan oleh Pasukan Pemantauan SOP daerah masing-masing dipertingkatkan.

"Sebanyak 417 pasukan pemantau dengan kekuatan 417 pegawai dan 1,251 anggota ditugaskan untuk memantau pematuhan SOP di negeri Perak.

"Elemen lain seperti Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) dan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) juga akan ditugaskan untuk melakukan rondaan dan pemeriksaan yang lebih kerap di tempat-tempat tumpuan orang ramai," ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, bagi tempoh 11 Oktober hingga 14 Oktober lalu, PDRM Perak telah mengeluarkan sebanyak 111 kompaun atas pelbagai kesalahan perlanggaran SOP yang sedang berkuatkuasa.

Kesalahan tertinggi ialah gagal mendaftar masuk premis merupakan SOP iaitu sebanyak 43 kompaun dan diikuti gagal memakai pelitup muka (40).

Masing-masing satu kompaun dikeluarkan atas kesalahan merentas daerah dan merentas negeri serta dua kompaun atas kesalahan makan di premis tanpa lengkap divaksin.

Sehubungan itu, Mior Faridalathrash mengingatkan orang ramai yang ingin memasuki negeri Perak mestilah telah lengkap divaksin dan cukup tempoh sepertimana yang telah ditetapkan mengikut jenis vaksin diterima.

"Mereka dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa dan pihak polis akan mengenakan kompaun kepada sesiapa sahaja yang gagal mematuhinya," ujarnya.