MANJUNG - Majlis Perbandaran Manjung (MPT) telah melancarkan satu lagi perkhidmatan secara digital yang boleh diakses menerusi aplikasi MyManjung iaitu Permit Penjaja Harian Sementara. 

Peniaga kecil kategori penjaja kini boleh mendaftar dan membuat permohonan permit tanpa perlu hadir ke kaunter MPT untuk membuat permohonan ini. 

MPT dalam satu kenyataan memberitahu,setakat ini daerah Manjung mempunyai 637 penjaja harian yang berdaftar melalui kaedah sebelumnya.

Menerusi kaedah lama, pemohon dilaksanakan melalui kaedah Google Form dan perlu dikemaskini setiap kali membuat permohonan permit.

Menurut kenyataan itu, dengan adanya menu permohonan PPHS di MyManjung, pemohon hanya perlu memohon sekali sahaja dan buat pembayaran secara dalam talian.

"Kadar bayaran masih sama dan kaedah bayaran telah dilebarkan dengan pilihan perbankan internet atau pilihan menggunakan kad debit.

"MPT mengambil inisiatif ini bagi membantu mengurangkan risiko penularan virus Covid-19 dalam kalangan masyarakat di samping bergerak bersama era digitalisasi," ujar kenyataan tersebut.

Ia juga bertepatan dengan tagline MyMANJUNG iaitu 'Kaunter Digital Anda'.

Dalam pada itu, bagi memudahkan masyarakat dan penjaja, pegawai-pegawai penguatkuasa MPT telah turun padang membantu penjaja mendaftar dan membuat permohonan permit ini.

Video tutorial penggunaan aplikasi ini turut disediakan oleh Team Media MyMANJUNG yang boleh didapati di Facebook Majlis Perbandaran Manjung.