IPOH – Jasa dan pengorbanan besar para veteran tentera ketika bertugas menjaga perbatasan negara daripada ancaman musuh adalah sesuatu yang sukar untuk dibalas.

Atas pengorbanan merekalah yang memungkinkan rakyat hari ini merasai nikmat kemerdekaan.

Menteri Besar, Datuk Saraani Mohamad berkata, kesengsaraan dan pengorbanan merekalah yang memungkinkan generasi hari ini menghirup udara segar keamanan.

“Beberapa lokasi di Perak pernah menjadi kawasan pertempuran termasuklah di sekitar Kroh (Pengkalan Hulu), Sungai Siput, Bukit Berapit, Kelian Intan dan Gopeng.

“Setiap kali ada pertempuran atau serang hendap, ramai pahlawan kita yang cedera atau terkorban,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan persidangan perwakilan Persatuan Veteran ATM (PVATM) negeri Perak di salah sebuah hotel di Ipoh baru-baru ini.

Dalam ucapan tersebut, Saarani sempat berkongsi pengalaman di Lenggong ketika zaman tentera melawan gerila komunis.

Katanya, ada antara mereka yang terselamat dan kini menjadi sebahagian daripada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sebahagianya turut berada pada majlis petang tadi dan saya tidak lepaskan peluang untuk menyatakan penghargaan,” ujar Menteri Besar.

Pada majlis tersebut, Saarani turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada para veteran termasuk cek RM50,0000 kepada PVATM negeri Perak.