IPOH – Agensi-agensi kerajaan dan swasta digalakkan untuk melakukan pendigitalan maklumat sebagai meningkatkan tahap kecekapan proses penyampaian kepada rakyat di negeri ini.

Ini kerana pengumpulan bahan-bahan ilmiah dan penerbitan yang mempunyai nilai sejarah dan rujukan autentik perlu didokumentasikan secara digital bagi mengelakkan kepupusan, kerosakan dan kehilangan bahan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, hasil kajian ilmiah oleh para penyelidik memerlukan satu platform yang diintegrasikan dengan karya grafik supaya memudahkan sistem penyampaian sekaligus menarik minat masyarakat.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan peraksanaan Maktabah Digital ini khususnya jawatankuasa gerak kerja Maktabah Digital Jabatan Mufti Negeri Perak yang bertungkus lumus menghasilkan sebuah platform digital sebegini.

“Ini secara tidak langsung membangunkan sebuah platform digital untuk mengembangkan syiar Islam di negeri ini melalui pendigitalan kitab-kitab rujukan agama Islam berautoriti pelbagai ‘mazhab dan aliran khususnya mazhab Syafi’ie,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Maktabah Digital yang diadakan secara langsung pada paparan Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak menerusi aplikasi zoom pagi tadi.

Pendigitalan buku dan kitab ini juga adakah ke arah merealisasikan kerajaan digital seperti yang telah diumumkan oleh kerajaan bertujuan meningkatkan sistem penyampaian untuk rakyat.

Menurut Saarani, pembangunan Maktabah Digital ini mempunyai empat modul utama yang berfokus kepada pengurusan dan penyelarasan pinjaman dan pemulangan buku, dokumentasi dan kajian, penerbitan dan multimedia serta galeri arkib.

Katanya, sistem ini bertujuan memberi kemudahan kepada para pegawai membuat rujukan bagi kajian isu-isu semasa, memberi perkhidmatan kepada guru-guru agama tauliah, para penyelidik, para pengkaji ilmu falak dan orang awam mendapatkan bahan- bahan rujukan berautoriti secara digital.

“Terdapat kira-kira 5,000 naskhah buku merangkumi pelbagai judul.


“Kitab-kitab turath merupakan khazanah ilmu para alim ulamak Islam yang telah memberi sumbangan besar dalam khazanah perpustakaan Islam, perlu dipersembahkan kembali pada masyarakat dalam bentuk digital yang diberi nafas baharu pada hari ini,” ujarnya.