IPOH – Penghuni dua buah rumah terselamat daripada kecelakaan apabila kediaman mereka di Taman Pakatan Jaya dekat Bercham dijilat api dalam kejadian kebakaran yang berlaku pagi tadi.

Dalam kejadian itu, sebuah rumah teres dua tingkat yang terletak di lot tepi musnah 85 peratus manakala rumah bersebelahannya mengalami kerosakan pada bumbung dan siling.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.37 pagi.

Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Ipoh dihantar ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

“Semasa bomba tiba api sedang marak lalu tindakan segera dilakukan bagi mengelak kebakaran merebak ke rumah berdekatan.

“Kebakaran turut melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dengan anggaran kemusnahan lima peratus. Bagaimana pun kebakaran tidak melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa,” kata jurucakap tersebut.

Operasi pemadaman turut dibantu anggota dan jentera dari BBP Simpang Pulau dan sukarelawan bomba Bercham.

Turut berada di tempat kejadian ialah komander operasi kanan, TpgB Mohd. Azman Hussin yang juga Ketua BBP Ipoh.

Operasi yang diketuai PBKII Mohd. Rosli Ibrahim itu tamat sepenuhnya pada pukul 1.35 tengah hari.