IPOH - Perak satu-satunya negeri yang akan memperkenalkan pakej pelancong Islamik tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Mohammed Radzi berkata, selain memperkukuhkan pakej pelancongan sedia ada, ia akan memperluaskan pakej Jejak Masjid dengan menambah bilangan masjid dengan menjadikan Masjid Panglima Bukit Gantang di Ipoh sebagai pusat maklumat dan mini galeri untuk tujuan tersebut.

“Pada masa yang sama, kita juga telah meminta bantuan daripada pihak PUHAZ untuk mengadakan pakej-pakej domestik juga yang berunsurkan lebih kepada Islamik, bukan sahaja daripada segi menepati kehendak untuk fizikal ataupun hanya untuk pelancongan.

“Sebaliknya lebih kepada boleh dimasukkan elemen-elemen ilmiah dan insaniah daripada segi pakej-pakej berkumpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas program ramah mesra bersama Persatuan Pengendali Haji Umrah dan Ziarah Perak (PUHAZ) di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden PUHAZ, Ali Sabri Abd Rahman; Pengurus Besar Tourism Perak, Zuraida Md Taib dan Timbalan Presiden PUHAZ, Mohamed Jamaludin

Pada majlis itu, beliau menyampaikan bantuan one off RM2,000 kepada ahli PUHAZ bagi meringankan kewangan mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Selain itu, setiap ahli persatuan turut menerima baucer subsidi berjumlah RM4,500 bagi memperluaskan pakej mereka kepada pelancongan domestik.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin turut menjelaskan bahawa Kerajan Negeri memerlukan kreativiti serta kerjasama sektor swasta untuk mempromosi lebih banyak produk pelancongan, termasuk Pakej Islamik.