IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Pasaraya Econsave sebagai rakan strategik MBI.

Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin@Md Daud berkata, sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac 2020, MBI telah melancarkan Program MBI Prihatin yang turut memberi manfaat kepad kira-kira 10,000 penerima bantuan dalam bentuk sumbangan makanan. 

"Sehubungan dengan itu, setakat 22 Oktober hampir RM1 juta telah dibelanjakan bagi membantu meringankan beban penduduk menerusi program ini yang mana, peniaga serta warga MBI sendiri yang dibiayai oleh MBI serta rakan strategik MBI, Econsave serta penaja lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas MOU, di Dewan Azlan Shah, Bangunan MBI di sini, hari ini.

Pada majlis itu, pihak Econsave diwakili oleh Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak dan Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman.
 
Majlis menandatangani MOU ini diadakan bagi menjayakan program MBI Prihatin secara lebih tersusun dengan rakan strategik MBI, Econsave.