TANJUNG MALIM - Pemandu bersama kelindan sebuah lori cedera termasuk seorang parah setelah terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah lori di Kilometer 396.0 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.52 petang.

Menurut jurucakap itu, kemalangan berlaku apabila sebuah lori lima tan melanggar belakang lori jenis sama menyebabkan pemandu dan kelindannya tersepit.

"Sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim dikejar ke lokasi kejadian.

"Semasa bomba tiba, pemeriksaan mendapati dua mangsa lelaki tersepit pada bahagian pemandu dan penumpang lori," ujar jurucakap tersebut.

Komander operasi kemudian mengarahkan kerja-kerja mengeluarkan pemandu yang mengalami kecederaan patah kaki manakala kelindannya pula parah.

"Kedua-dua mangsa dipasangkan c-collar sebelum kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan.

"Pemandu lori dan kelindannya kemudian dikejarkan ke Hospital Slim River bagi rawatan lanjut," ujarnya.

Operasi yang diketuai PBK II Ibrahim Mat Isa itu tamat sepenuhnya pada pukul 4.36 petang.