Menurut petikan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 26 Oktober 1972, penduduk di Batu Pahat, Johor yang sebelumnya keluar berhijrah mencari pekerjaan akibat kemerosotan harga getah beberapa bulan lalu telah kembali disebabkan kenaikan harga getah.

Peristiwa yang berlaku 49 tahun lalu ini menunjukkan bagaimana kenaikan harga getah menyaksikan para pemuda telah beransur-ansur pulang untuk kembali mengerjakan kebun kerana upah yang tinggi.

Dilaporkan, harga getah naik kepada 110.5 sen sekilogram (73 sen sekati) yang mana Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia telah membeli getah mengikut harga pasaran di seluruh negara.

Kenaikan harga getah pada masa itu mengimbas kembali keadaan serupa kira-kira 12 tahun sebelumnya.

Perang Korea yang meletus pada tahun 1950 menyebabkan berlaku lonjakan pemintaan terhadap timah dan getah bagi pembuatan kelengkapan perang.

Peningkatan kedua-dua komoditi tersebut memberi limpahan rezeki kepada penduduk Tanah Melayu yang pada masa itu berhadapan dengan ancaman komunis selain baru pulih daripada kesan Perang Dunia Kedua.

Kenaikan dua eksport utama Tanah Melayu ini juga telah membawa pada peningkatan hasil kerajaan menerusi duti eksport getah dan timah.

Pada tahun 1948, Tanah Melayu mengeluarkan 9789,107 tan getah dan meningkat kepada 1,106,499 tan (1950) dan 1,155,267 (1951).

Harga getah pula adalah 169.55 sepaun di pasaran Singapura pada tahun 1951 iaitu lebih empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Pengeluaran bijih timah pada tahun 1949 pula adalah 55,449 tan sebelum meningkat pada 57,722 (1950) dan 57,453 (1951).

Bagaimana pun, keadaan berubah apabila berakhirnya Perang Korea di mana permintaan untuk komoditi berkenaan merosot menyebabkan harga getah dan timah menurun.

Berdasarkan perangkaan Jabatan Buruh pada masa itu seramai 16,573 pekerja menganggur pada November 1953.

Kebanyakannya adalah pekerja lombong di Perak apabila sebayak 50 lombong bijih timah menghentikan operasi kerana pengurangan permintaan selepas Perang Korea tamat.

Bercakap tentang sejarah perlombongan bijih timah di Perak, kini kapal korek yang masih ada di Perak adalah Kapal Korek Tanjung Tualang 5 (TT5) yang juga merupakan satu-satunya muzium kapal korek di Malaysia.

(TT5) dibina pada tahun 1938 telah menjalani naiktaraf dari enjin wap dengan menggunakan arang batu kepada elektrik sepenuhnya pada tahun 1963.

Kapal korek pertama diperkenalkan di Tanah Melayu ialah pada 1913 oleh Malayan Tin Dredging Limited di Batu Gajah manakala kapal korek baru yang terakhir dibina di Malaysia ialah pada tahun 1985.