Konda Kondi tegas patuhi SOP!
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 938
IPOH- Selepas lebih tiga bulan melalui tahap sukar akhirnya kafe citarasa Maxico, Konda Kondi Cafe and Bistro (KKCB)kembali bersaing selepas pembukaan sektor ekonomi dibenarkan semula.
Pengarahnya, Azril Aryandi Zambri, 33, menarik nafas lega terhadap sambutan orang ramai yang masih setia berkunjung ke KKCB walaupun terpaksa akur dengan Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Sewaktu perlaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 dan Fasa 3, perniagaan saya mengalami kerugian sebanyak 70 peratus dan jika berterusan ia sangat membimbangkan.
“Dalam tempoh sukar itu, saya terpaksa menggunakan wang simpanan bagi melangsaikan sewaan kedai, gaji pekerja dan pelbagai bil berkaitan.
“Saya bernasib baik kerana wang simpanan masih mencukupi untuk menampung semua kos. Memang tidak dapat dinafikan sebelum ini telah banyak kafe terpaksa mengalah kesan dari pandemik COVID-19," katanya kepada Peraktastic sewaktu ditemubual baru -bari ini.
Menurut Azril, bagi memastikan keselamatan pengunjung yang datang ‘dine in’, beliau memastikan SOP dipatuhi sepertimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selain memastikan secara tegas bahawa setiap pengunjung harus mempamirkan sijil vaksinasi menerusi MySejahtera, beliau juga akan memastikan kerja-kerja sanitasi dilakukan dengan sempurna.
“Menyentuh soal sanitasi, kami akan memastikan kebersihan meja dan kerusi selepas digunakan akan disanitasi serta merta sehingga pengunjung berpuas hati.
“Begitu juga cara pengambilan pesanan makanan dilakukan menerusi telefon bimbit menggunakan pengimbas bar kod ke pautan aplikasi menu kami.
“Kami tidak lagi menggunakan buku menu bercetak. Kami mahu mengurangkan komunikasi dua hala dan sentuhan. Kaedah ini mendapat kerjasama yang baik dari pelanggan.
KKCB beroperasi sejak 2015, kini mengembangkan sayap perniagaannya secara food truck di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru. Sambutan perniagaan food truck mendapat sambutan yang baik sehingga kini.
Azril juga menyatakan kekangan telah berlaku semenjak pengoperasian semula KKCB iaitu masalah kakitangan yang tidak mencukupi.
“Sejak kebelakangan ini masalah mencari pekerja agak sukar. Mungkin ini kerana sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PPN ramai di kalangan mudi- mudi menceburkan diri dalam perniagaan secara ‘online’ sehingga tiada yang berminat untuk bekerja di kafe-kafe semula,” ujarnya.
KKCB yang popular dengan masakan Steak Short Ribs’Nachos El Capitan, Spaghetti Carbonara dan Creamy Meatball ini, beroperasi setiap hari kecuali hari Selasa dari jam 4.00 petang hingga 11.30 malam. Kerja-kerja sanitasi ke seluruh ruang kafe akan dilakukan dengan sempurna setiap hari sebelum kafe ditutup sepenuhnya. -Peraktastic.