TAIPING –  Kisah kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San yang terkenal dengan aktiviti gelap dan pergaduhan termasuk terbabit dalam Perang Larut kurang diketahui umum secara lebih mendalam disebabkan kurang pendedahan menerusi penceritaan.

Bagaimana pun, orang ramai khususnya pencinta sejarah apatah lagi dalam kalangan Orang Perak berpeluang mendalami kegiatan kedua-dua kongsi gelap tersebut apabila bahan sejarah mengenainya akan dipamerkan di Muzium Perak di Taiping tidak lama lagi.

Pihak Muzium Perak mengambil inisiatif mempertontonkan dokumen waran tangkap ke atas kumpulan kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San ini buat pertama kali pada Pameran Taiping Retrospektif Sejarah.

Pengarah Muzium Perak, Zarinah Sarifan berkata, pameran yang akan berlangsung pada 20 November nanti bertujuan menyemarakkan kembali pelancongan domestik selaras dengan kebenaran rentas negeri.

Menurut beliau, koleksi barangan dari Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) antaranya dokumen waran tangkap terhadap dua kumpulan kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin, alat pasong dan pakaian seragam polis Sikh semasa era British dipinjamkan untuk pameran.

Katanya, lain-lain koleksi bersejarah yang menjadi bahan pameran ialah artifak lama sejak era kolonial milik pasukan polis, penjara, kesihatan termasuk koleksi Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

"Buat pertama kalinya artifak kepolisan ini dipamerkan kerana Taiping merupakan Bandar Garison pada pertengahan dan penghujung abad ke 19 menjadi pangkalan bagi pasukan keselamatan seperti polis dan tentera.

"Simbol keselamatan kuasa kolonial di utara Tanah Melayu terletak di Taiping ini, sebab itu kita dapatkan koleksi ini supaya masyarakat boleh melihat bagaimana bandar Taiping kekal relevan sebagai bandar garison hingga kini,” ujarnya pada sidang akhbar sempena pembukaan semula Muzium Taiping bagi kunjungan awam.

Muzium Perak di Taiping akan mula beroperasi semula pada 2 November ini setelah sekian lama ditutup disebabkan penularan pandemik Covid-19.

Selain itu, artifak perlombongan bijih timah juga turut dipertontonkan dalam Taiping Retrospektif Sejarah ini.

Pembukaan Muzium Perak untuk lawatan awam dibuat mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP)yang ditetapkan dengan jumlah pelawat hanya 60 orang pada satu-satu masa.

Para pelawat digalakkan untuk mendaftar melalui sistem e-temujanji sekurang-kurangnya sehari sebelum tarikh lawatan menerusi laman web www.imm.gov.my/ms/content/janjitemu.