KUALA KANGSAR - Program Menteri Besar Bersama Rakyat (MESRA) di Lubok Merbau hari ini dimulakan dengan Moh Mengopi Bersama MB di Warung Abang Chik, Kampung Padang Asam.

Sesi mengopi itu digunakan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad untuk berkongsi hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri bersama orang kampung.

Menerusi paparan pada laman Facebook rasmi beliau memberitahu, antara yang dikongsikan ialah isu vaksin Covid-19, pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 sehinggalah kepada isu-isu setempat.

Menurut paparan tersebut, ada juga penduduk yang datang bercerita hal-hal kehidupan orang kampung yang menuntut perhatian kerajaan negeri.

"Program MESRA ini kita mulakan Mac lalu di setiap daerah.

"Kita sudah laksanakan di Daerah Kerian seterusnya di Hulu Perak, Perak Tengah dan Muallim.

"Namun atas kekangan pandemik COVID-19, MKN nasihatkan supaya program ini ditangguhkan dahulu," ujar Saarani pada paparan itu.

Jelas Menteri Besar, memandangkan kita mula memasuki fasa pemulihan, kita teruskan di Lubok Merbau dengan mengambil kira pematuhan SOP.

Sepanjang dua hari di sini, pelbagai program bersama rakyat sudah diatur termasuk sesi townhall dengan pelbagai segmen masyarakat.