GERIK – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) terus menyantuni masyarakat pribumi tersebut di beberapa buah perkampungan Orang Asli di Hulu Perak dekat sini apabila pada program pembayaran dividen tanam semula komersial (TSK) baru-baru ini.

Ketua Pengarah (Jakoa), Sapiah Datuk Mohd. Nor mengetuai program selama dua hari itu yang dijayakan Jakoa Ibu Pejabat dengan kerjasama Jakoa negeri Perak/Kedah.

Kunjungan pertama diadakan di Kampung Orang Asli Sungai Tiang bagi pembayaran dividen tunai yang turut disertai Pengarah Jakoa Perak/Kedah, Harulnizam Abdul Rahman.

“Turut disampaikan ialah peralatan pembesar suara, kit kecemasan, alat pengusung, mesin pemotong rumput dan generator untuk kegunaan Koperasi Orang Asli Kampung Sungai Tiang.

“Seterusnya Ketua Pengarah Jakoa menyempurnakan penyerahan bot kepada usahawan bagi membangunkan ekonomi dalam kalangan masyarakat di situ,” menurut Jakoa negeri Perak/Kedah dalam satu kenyataan yang disiarkan pada laman Facebook rasminya.

Program diteruskan dengan lawatan ke Akekchep Sungai Tiang iaitu pusat santuari ikan kelah dan ikan tengas yang telah diusahakan oleh usahawan Orang Asli Kampung Sungai Tiang.

Ketika ini Akekchep ditutup bagi proses menaiktaraf kemudahan seperti tempat tinggal yang diuruskan oleh Tenaga Nasional Research, Perbadanan Taman Negeri dan Koperasi Orang Asli Sungai Tiang.

Jelas kenyataan itu lagi, pada hari kedua lawatan pula seramai 18 penduduk di Kampung Hulu dan Kampung Hilir Sungai Kejar menerima bayaran dividen tunai.

Ketua Pengarah Jakoa juga turut beramah mesra dengan batin setempat berhububung kerja-kerja menaik taraf kemudahan asas di kampung tersebut.