Penjawat awam perlu ambil vaksinasi demi elak jangkitan
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 444
KUALA KANGSAR — Penjawat awam dan seluruh rakyat Perak yang belum menerima suntikan vaksin diseru untuk berbuat demikian bagi mengelak risiko dijangkiti dan menjangkiti orang lain.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, walaupun pemberian vaksin tidak boleh dipaksa tapi penjawat awam masih terikat dengan Peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Menurut beliau, ini adalah polisi dasar yang dibuat oleh JPA kerana mengambil kira mereka yang tidak mengambil vaksin berpeluang untuk mendapat jangkitan serta menjangkiti orang lain.
“Jadi, tidak adil untuk orang yang dah mengambil vaksin apa lagi penjawat awam termasuk guru-guru.
"Mereka akan sentisa berhadapan dengan orang ramai kakitangan kerajaan yang lain pun terutama yang berada di kauter akan berhadapan dengan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Townhall Menteri Besar Bersama Rakyat (MESRA) di sini.
Media sebelum ini melaporkan, JPA menerusi satu pekeliling menegaskan penjawat awam berdepan tindakan ditamatkan perkhidmatan jika tidak mematuhi arahan untuk mendapatkan vaksinasi.
Menurut Saarani, penerima vaksin juga berhak menyuarakan hak asasi mereka sebagaimana yang dituntut oleh mereka yang belum mengambil vaksin.
“Walaupun kita kata ini hak asasi manusia tetapi jangan lupa saya pun ada hak asasi juga, hak asasi untuk dilindungi, hak asasi kepada kita juga kena ambil kira.
“Kita faham mereka yang ada masalah kesihatan, alahan atau yang sedang mengandung, tetapi yang memang sengaja tidak mahu ambil vaksin, tidak adil untuk orang lain," ujarnya.