SUNGAI SIPUT - Itulah suara kebimbangan para penduduk di sebuah taman perumahan di sini, akibat kejadian banjir lumpur pada 30 Oktober lalu.

Timbalan Pengerusi Surau Taman Yakin Mesra, Sazali Abdul Aziz, 46, berkata, aliran air hujan menuruni bukit berhampiran telah menyebabkan pokok-pokok yang agak tua, tumbang.

“Disebabkan pokok-pokok itu tumbang, tiada lagi akar yang dapat mencengkam tanah di bukit itu dan ia menyebabkan tanah bukit terbabit mengalir sehingga menyebabkan banjir lumpur.

“Kami amat berharap pihak yang bertanggungjawab samaada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau jabatan yang terlibat segera lakukan sesuatu kerana tanah-tanah di bukit itu sudah merekah.

Menurutnya,  Jun lalu, ada pemimpin setempat yang hadir meninjau kawasan tersebut, namun tiada sebarang tindakan lanjut.

“Janganlah disebabkan lambat bertindak, nyawa penduduk terancam kerana kejadian banjir lumpur baru-baru ini sudah pun melepasi paras lutut,” katanya.

Bagaimanapun, Ahad lalu iaitu sehari selepas kejadian banjir lumpur, terdapat individu dari kawasan luar yang prihatin dengan masalah ini, telah mengupah sebuah syarikat kontraktor swasta untuk membersihkan banjir lumpur yang dianggap  paling teruk sejak awal tahun.

Sazali berkata, jika hujan lebat berlaku lagi, tidak mustahil  pokok-pokok yang berada di lereng bukit itu juga akan tumbang bersama-sama lumpur.

Sabtu lalu, banjir lumpur yang melanda merupakan kali ketiga ianya berlaku dalam tempoh 6 bulan sehingga meninggalkan kesan trauma ke atas hampir 50 buah rumah di  Taman Yakin Mesra (TYM) Fasa 2 di sini.

Sementara itu seorang penduduk, Abdul Ghaffar Mat Mehat, 36, ketika ditemui Peraktastic menyuarakan keresahannya kerana rumahnya adalah yang paling hampir dengan bukit terbabit.

“Sejak menetap di sini 11 bulan lalu, sudah tiga kali kejadian banjir lumpur ini berlaku iaitu pada April, September dan terbaru hujung bulan Oktober lalu.

“Saya amat terkesan dan trauma dengan kejadian tempoh hari kerana rumah saya turut ditenggelami banjir lumpur separas lutut dan saya bimbang jika kejadian yang lebih teruk lagi berlaku, kemungkinan rumah kami boleh tertimbus  tanpa kami sedari.

Abdul Ghaffar berkata, selepas kejadian pada September lalu pihak PBT ada datang sekadar membersihkan limpahan lumpur di dalam longkang tersebut tetapi tiada tindakan daripada mana-mana pihak untuk membaiki cerun bukit mahupun membina konkrit di situ.

Jelasnya, terdapat ladang kelapa sawit milik persendirian di atas bukit tersebut dan pokok sawit itu juga kelihatan sudah matang dan tua.

Seorang lagi penduduk, Mohd Shawal Mohd Arshad, 33, sudah menetap di taman itu sejak setahun  tahun lebih pula berkata, setiap kali hujan lebat, mereka sekeluarga berada dalam keadaan berjaga-jaga.

“Kami penduduk di sini berasa bimbang sekiranya rekahan tanah semakin teruk kerana kejadian banjir lumpur sudah berlaku beberapa kali.

“Setiap kali hujan lebat dan dalam tempoh yang lama, keadaan ini boleh mengakibatkan hakisan pada tanah bukit itu selain pokok juga tumbang. 

“Kami mendesak pihak yang bertanggungjawab supaya segera bertindak sebelum perkara yang lebih teruk melibatkan rumah di taman ini sehingga merosakkan harta benda sekaligus boleh meragut nyawa penduduk di sini,” ujarnya.

Sementara itu tinjauan Peraktastic ke kawasan terjejas, mendapati beberapa rekahan telah berlaku pada lereng bukit yang curam. 

Terdapat juga aliran air yang mengalir berterusan daripada atas bukit seolah-olah mata air dan bertakung di dalam longkang berhampiran.

Keadaan ini boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes jika tidak ditangani segera.